Select Page

Khusus untuk rumah kediaman, lazimnya sofa adalah perabot yang paling penting dan diberi keutamaan oleh pereka hiasan dalaman. Maklumlah, ruang tamu adalah tempat anda meraikan tetamu yang datang. Oleh itu, rekabentuk hiasan dan pemilihan sofa yang elegan akan memberi keselesaan kepada tetamu. Adalah sangat berbaloi untuk anda memberi sedikit masa bagi memilih sofa yang berkualiti pada harga yang berpatutan dan murah, sesuai dengan bajet anda. Dalam artikel ini, saya akan kongsikan 9 tips cara memilih sofa untuk rumah kediaman anda.

1. Ukur Ruang Anda

Ini adalah perkara pertama yang perlu anda lakukan! Pastikan anda mempunyai pelan lakaran rumah, ukuran saiz ruang tamu dan pelan susun atur cadangan. Ini akan memastikan anda hanya membeli sofa  dengan saiz yang tepat untuk ruang tamu rumah anda.

Bagi ruangan yang kecil, sofa bentuk L atau sofa 3 tempat duduk mungkin pilihan yang lebih baik. Untuk ruang tamu saiz biasa, anda boleh pilih sofa 5 tempat duduk atau lebih mengikut saiz ruang yang ada. Sekiranya ruang tamu anda bersaiz besar, terdapat banyak pilihan seperti gabungan 2+3 tempat duduk bersama 2 kerusi atau sofa bentuk L bersaiz besar mungkin pilihan yang baik.

2. Kenalpasti Konsep & Susun Atur yang Sesuai

Perhatikan kemasan jubin dan dinding, serta saiz ruang tamu anda. Ini akan memberi anda sedikit idea tentang konsep dan susun atur yang sesuai. Masih pening nak pilih sofa yang mana satu? Saya cadangkan anda meluangkan masa melawat rumah contoh di tapak perumahan baru atau berjalan-jalan di IKEA untuk mencari ilham dan idea.

3. Beli Sofa Pada Harga Promosi

Anda perlu meninjau dan membandingkan harga sofa sekurang-kurangnya di 3 gedung jualan. Sebaiknya, beri tumpuan kepada gedung jualan yang menawarkan harga promosi dan perabot murah.

4. Uji & Rasai Keselesaan

Setiap sofa yang dihasilkan oleh pengeluar/ kilang akan mempunyai ciri keselesaan yang tersendiri. Oleh itu, adalah penting untuk anda menguji sendiri setiap pilihan sofa yang ada. Anda boleh duduk dan rasai kesesuaian/ keselesaan sofa tersebut.

5. Periksa Rangka

Kualiti dan ketahanan sofa biasanya bergantung kepada rekaan rangka.

Rangka kayu keras (solid) adalah pilihan terbaik kerana ianya adalah kukuh, tahan dan bersifat natural. Pastikan rangka kayu digilap dengan baik dan bersih, dengan kandungan lembapan sekitar 8% ke 12%.

Selain rangka kayu, sofa dengan rangka besi juga satu pilihan yang baik. Cuma ianya mungkin agak berat, dan rangka besi juga akan mudah terdedah dengan karat jika tidak digilap dengan baik.

6. Periksa Jenis Lapik Permukaan

Sofa dengan lapik permukaan jenis fabrik dan kulit adalah berbaloi untuk dimiliki. Anda juga boleh memilih jenis permukaan yang lain asalkan ianya mempunyai ciri ketahanan yang baik dan mudah untuk dibersihkan.

7. Periksa Jenis Bahan Di Bahagian Dalam

Bahan yang biasa digunakan untuk sofa adalah jenis polyurethane foam. Sofa mewah akan ada lapisan tambahan, menjadikan sofa tersebut lebih selesa.

8. Pilih Warna Yang Sesuai

Warna yang berbeza akan memberikan perasaan yang berbeza untuk sofa dan ruang anda. Pastikan sofa yang dibeli sesuai dengan rekabentuk kemasan jubin lantai dan dinding ruang tamu. Warna natural adalah pilihan terbaik memandangkan sofa anda akan digunakan untuk satu tempoh yang lama.

9. Jadilah Pengguna Bijak

Buat pilihan akhir berdasarkan semua tips yang telah dikongsikan di atas. Sebagai pengguna, pilihan yang bijak adalah dengan membeli perabot berkualiti pada harga murah. Pastikan setiap ringgit yang anda belanjakan memberikan pulangan nilai untuk jangka panjang.